20 June, 2011


Mahkamah Hati


Keberanian itu datangnya bersama keberanian , sedangkan ketakutan itu wujud kerana kesalahan.
Benar itu menjadi sumber keberanian , salah itu pula punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan lantaran diri terus menerus melakukan kesalahan. Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyiksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan , apatah lagi bersalah kepada ALLAH. Seperti mana undang - undang itu ada tempat pengadilannya , begitu juga dengan kita . . .ada mahkamah yang mengadili kekhilafan diri.

MAHKAMAH DUNIA

Yang mana saksi , pendakwa & hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kadang, dengan kebijaksanaan & kelicikan , mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas , sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru , masyhurlah kata hukama ; 
tidak ada keadilan yang muktamad & mutlak di dunia ini ~ Jerung sering bolos , bilis sahaja sering di gilis.




MAHKAMAH AKHIRAT


Yang mana hakimnya adalah ALLAH yang Maha Adil. Di sana nanti , yang benar akan terserlah , yang salah pasti kalah. Akan terbukti segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan 'hidup' untuk menjadi saksi. Kulit , tangan , kaki & segala anggota badan kita akan bercakap sebagai saksi yang nyata. Rupa - rupanya 'body' yang kita jaga , elus & belai kini , akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki.


MAHKAMAH HATI

Saksi , pendakwa & hakimnya adalah HATI kita sendiri. HATI kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan.

Ya , dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia , tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri. Kita mungkin mampu menipu manusia , tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah & diri sendiri. Maka , ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati. Setiap masa , setiap ketika & di setiap suasana hati kecil akan bersuara..Tidak tega dengan kesalahan , tidak rela dengan kemungkaran.

DOSA itu derita , kerana yang salah atau dosa itu sangat memberi kesan pada JIWA. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua 'perlanggaran'. Pertama , perlanggaran ke atas fitrah HATI yang tabii. Kedua , perlanggaran terhadap Allah zat yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan ~

Jangan dilawan FITRAH sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur , dididik & dipimpin maka , jalan hidup akan harmoni & bahagia. Sebaliknya , jika fitrah yang baik itu dibiarkan , diabaikan apatah lagi jika ditentang maka , tidak akan ada lagi kebahagiaan & ketenangan.
So , hati-hati menjaga hati , agar hati itu tidak mati !


Oleh itu , awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak. Kata ulama ; mujurlah dosa itu tidak berbau , jika tidak , tidak akan ada siapa yang sudi mendekati kita ~


Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya ~ Rasulullah S.A.W

No comments:

Post a Comment